Samaiden bekerjasama dengan Chudenko teroka pasaran RE di Malaysia, Jepun

KUALA LUMPUR 7 Mac – Syarikat pembekal penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE), Samaiden Group Berhad mengumumkan kerjasama perniagaan bersama syarikat kejuruteraan terkemuka Jepun, Chudenko Corporation bagi meneroka pasaran RE di Malaysia dan Jepun.

Menerusi perjanjian itu, kerjasama perniagaan itu merangkumi pelaburan bersama atau usahama dalam projek RE merangkumi pemasangan panel tenaga solar bagi pelanggan Jepun selain bekerjasama dalam pengenalan teknologi dalam operasi dan penyelenggaraan (O&M) RE termasuk teknologi lain.

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata, perjanjian itu membolehkan kumpulan itu menggunakan kelebihan kedua-dua syarikat untuk memacu perkembangan sektor RE selain membolehkan mereka memasuki rangkaian perniagaan Chudenko.

“la bukan sahaja membuka peluang kami untuk meluaskan prospek bagi pasaran Jepun tetapi juga memberikan peluang untuk menggunakan kelebihan teknikal Chudenko dan sudah pasti kelebihan RE Samaiden akan melengkapi inisiatif bebas karbon Chudenko,” katanya dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Chudenko adalah syarikat kejuruteraan berpangkalan di Jepun yang terlibat dengan reka bentuk, pemasangan serta penyelenggaran peralatan elektrik dalaman, penyaman udara dan sistem pengudaraan mekanikal.

Chudenko juga merupakan syarikat yang tersenarai di Tokyo Stock Exchange (TSE) dengan modal pasaran sebanyak RM4.6 bilion dan merupakan pemegang saham utama Samaiden dengan pegangan ekuiti sebanyak 15.15%.

Dengan sasaran untuk membina perniagaan mampan, Samaiden juga turut mengintai pelaburan aset RE dan loji janakuasa yang akan membantu menghasilkan pendapatan jangka panjang berterusan.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Urusan Cudenko, Takakazu Higashioka berkata, jalinan kerjasama itu adalah selaras dengan perancangan syarikat untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang FY2050 dan Samaiden merupakan proksi terbaik untuk syarikat itu mengembangkan penggunaan RE.

“Kerjasama dengan Samaiden itu juga membolehkan kami untuk masuk ke pasaran Malaysia selain rantau Asia Tenggara untuk meluaskan perkembangan RE dan kami juga teruja keraja is bakal membuka peluang kepada kami dari segi perniagaan yang akan memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sumber : Dagang News (Online)